Hari ke-6 ini kami rasa semakin penat dan sakit kaki disebabkan kasut yang tidak sesuai untuk berjalan dalam keadaan salji. Paling efek ialah bahagian jari kaki dan tangan. Terasa kebas seakan mencucuk sendi. Tapi perjalanan perlu diteruskan dan kami tidak boleh buang masa dengan hanya terperap dalam bilik hotel. Lagipun bukan selalu kami dapat melancong. Selalunya setiap dua tahun barulah kami dapat bercuti di lokasi yang agak jauh untuk tempoh masa lebih lama.

Bagaimana Ke Hitsujigaoka Observation Hill ?

Tentatif seterusnya adalah ke Hitsujigaoka Observation Hill. Untuk ke sini, kami mengambil Chuo Bas nombor 84 dari perhentian bas depan Tokyu, tak jauh dari Sapporo station.  Terminal akhir bas ialah Hitsujigaoka Observation Hill. Tambang sehala ialah 270 yen. Perjalanan ambil masa kira-kira 30 minit menaiki bas. Kami tiba pada jam 8.35 pagi. Untuk masuk ke Hitsujigaoka Observation Hill, bayaran tiket untuk dewasa ialah sebanyak 500 yen. 

Dari pintu masuk, kami berjalan hampir 900 meter untuk ke kawasan observation. Sebenarnya memang ada bas yang akan masuk ke dalam membawa penumpang. Tapi entah kenapa bas yang kami naik itu tidak masuk dan hanya berhenti di pintu masuk tempat membeli tiket. Bila nak balik, barulah kami tahu yang bas Chuo Bas nombor 84 akan masuk sampai ke dalam untuk menurunkan dan mengambil penumpang.

Cerita Mengenai Dr Clark & Hitsujigaoka Observation Hill

Boys Be Ambitious

Dr. Clark atau Dr. William Clark sebenarnya adalah seorang tenaga pengajar di Sapporo Agricultural School (hari ini dikenali sebagai Universiti Hokkaido). Dia adalah timbalan presiden pertama yang dilantik pada tahun 1876. Dialah yang memperkenalkan teknik penanaman dan pertanian moden orang Barat pada masa itu kepada penduduk di Hokkaido. 

Pada batu tugu peringatan Dr Clark ini, terdapat satu tulisan berbunyi "Boys Be Ambitious" . Tangan kanan Dr. Clark yang menunjukkan ke arah sisinya adalah sebagai simbol motivasi yang menggalakkan supaya kita bercita-cita tinggi dan berusaha mencapainya.

Berkenaan dengan Hitsujigaoka Observation Hill pula, ada cerita tersendiri juga. Sebelum Perang Dunia Ke-2, ladang ternakan yang menempatkan 2,000 ekor biri-biri telah dibangunkan di daerah Hitsujigaoka oleh Jabatan Agrikultur yang diberi nama Tsukisappu Sheep Farm. Tapi tak sangka pula ladang biri-biri ini dibanjiri oleh para pelancong sejak tamatnya peperangan, menyebabkan kemasukan pengunjung ke ladang ini terpaksa dihadkan kerana bimbang ia memberi kesan kepada proses penyelidikan yang sedang berlangsung pada ketika itu. Bagaimanapun, pada tahun 1959, tertubuhlah Hitsujigaoka Observation Hill secara rasmi yang mana turut dijadikan sebagai stesen eskperimen dan kajian dalam bidang agrikultur di Hokkaido.

Berbaloi atau tidak ke Hitsujigaoka Observation Hill? 

Bagi aku berbaloi untuk datang ke sini pada musim lain seperti musim bunga dan musim panas. Tapi aku nasihatkan jangan sesekali datang pada musim salji. Sebab tak ada yang menarik boleh dilihat kecuali monumen Professor Clark. Cuma salji memutih menghiasi pemandangan padang yang terbentang luas boleh dilihat dari kedudukan patung monumen. Kalau nak datang juga pada musim sejuk. aku cadangkan untuk datang semasa festival musim salji diadakan kerana banyak aktiviti berlangsung semasa festival musim salji Sapporo terutama di lokasi tumpuan pelancong seperti Hitsujigaoka Observation Hill.

Dari pintu masuk dan tempat beli tiket

Tapi memandangkan kami hadir sebelum festival, tiada apa sangat yang menarik untuk disaksikan. Tambahan lagi kedudukannya di atas bukit menambahkan kesejukan dan angin juga bertiup kencang. Terasa sangat sejuk semasa berada di kawasan ini. Tidak ramai pengunjung yang hadir semasa kami tiba. Mungkin kerana waktu masih terlalu awal dan masih belum ramai pengunjung dapat dilihat. Restoran juga mula beroperasi pada pukul 10.00 pagi. 

Ambik gambar tak nampak kaki. Komplen nanti kembar cakap aku banyak komplen. So masa tengok gambar tu aku diam ajelahhhh...haha..dalam hati geram

Datang sini terus masuk restoran yang masih belum buka. Mujur ada alat pemanas. Boleh panaskan tangan. Kembar aku dapat ni terus tak keluar. Duduk depan ni je mamadai dah bagi dia.

Clark's Chapel dan Snow Museum Festival. Tak masuk pun sebab awal sangat. Maybe tak bukak lagi. Sebenarnya memang malas nak masuk..kikiki

Statue Dr. Clark

Kat bawah statue ada tulisan "Boys Be Ambitious"

Papan keterangan tentang Dr Clark

Cop tapak tangan orang-orang penting

Depan sana ialah padang yang terbentang luas. Luas sangat sebenarnya tempat ni. Tapi memandangkan musim sejuk, hanya salji yang kita dapat tengok.

Mujurlah ada restoran dan kedai yang menyediakan alat pemanas. Boleh juga kami masuk dan panaskan badan apabila terlalu sejuk. Di sini juga ada kemudahan tandas dan tempat untuk berendam kaki dalam air panas. Kembar aku langsung tak berminat nak bergambar di sini kerana tidak tahan dengan kesejukan. Dia hanya mendiamkan diri dalam restoran dan duduk di hadapan alat pemanas. 

Hanya beberapa minit sahaja dia di luar sebelum kami pulang naik bas yang sama pada pukul 9.30 pagi. Kami hanya menghabiskan masa satu jam di Hitsujigaoka Observation Hill. Tak berbaloi dengan tiket 500 yen yang dibayar. Kembar aku dah mula menyesal sebab datang sini. Aku pun tak boleh nak cakap apalah kan...baik diam sahaja. 

Balik awal sebab tak ada yang menarik nak dihayati dalam kawasan ladang biri-biri yang bersalji ni. Biri-biri pun tak nampak walau sehelai dari bulunya.

Sapporo Factory  (Shopping Mall)

Selepas sampai di Otaru. kami rancang untuk ke Sapporo Factory. Sekali lagi aku meneruskan pencarian pusat beli belah ini seorang diri. Kembar aku tak sanggup lagi nak berjalan dan hanya memerapkan diri di Seico Mart yang terletak berhadapan dengan Sapporo TV Tower iaitu bersebelahan jambatan sungai. Dia bagi aku masa sejam untuk cari Sapporo Factory sementara dia melahap roti dan minuman panas seenaknya. Amboi! 

Sungai yang bersih dan jernih tak jauh dari Sapporo TV Tower, bersebelahan Seico Mart

Tak ada sampah langsung

Disebabkan keinginan yang kuat, aku berusaha juga cari lokasi Sapporo Factory walaupun berseorangan. Ini adalah salah satu lokasi tumpuan pelancong. Aku berpusing mencari kedudukan bangunan Sapporo Factory selama hampir 1 jam. Entah kenapa susah sangat nak cari walaupun sudah berpandukan pada peta. Mungkin sukar sebab aku tak menggunakan internet. Padahal cukup mudah mencarinya apabila mengikuti menerusi jalan balik.

Sapporo Factory terletak bersebelahan dengan kilang pembuatan beer. Kedudukannya hanya kira-kira 800 meter dari Sapporo TV Tower. Tempat ini sesuai bagi mereka yang minat beli belah. Aku tak sempat nak explore apa jenis kedai yang ada. Tapi bagi aku standardnya hanya seperti sebuah pusat beli belah. Cuma ianya agak unik kerana terdapat sebuah taman mini dan binaan siling dan kubah kaca menjadikan ia menarik untuk dihayati. 

Ok, luas dan lapang. Tapi tak ramai orang

Bunga-bungaan dalam mall. Boleh tahan la unik.

Tak sempat nak lalu kat situ mengenangkan kembar yang tengah tunggu aku di Seico Mart

Dari bahagian bawah

Atap lutsinar. Ada kelainan di situ.

Sampai di Sapporo Factory, aku cepat-cepat ambil gambar sebagai kenangan. Mengenangkan si kembar yang keseorangan menunggu aku di Seico Mart, aku segera berpatah balik ke sana. Tapi sayang, bila sampai sana, aku tengok kembar aku dah lesap entah ke mana. Aku tak risau sangat sebab aku yakin dia mampu ingat jalan untuk balik ke hotel. Aku pun meneruskan perjalanan balik menerusi jalan yang menghubungkan Otaru dan Susukino dengan berjalan kaki. Boleh singgah kedai untuk lihat barangan jualan sambil cuci mata.

Bila sampai hotel, aku tengok kembar aku dah landing main telefon dalam bilik. Dia jelaskan pada aku yang dia tak tahan sangat nak terberak. Terpaksa balik dulu dan tinggalkan aku. Haha...siot betul la! Macamlah tak ada tandas awam nak singgah.

Makan Di Restoran The Kebap. Halal Ke?

Selepas jam 3.00 petang, kami keluar semula sama-sama untuk makan di restoran The Kebap.  Kami menaiki subway ke stesen Kita juni jo. Kemudian berjalan kira-kira 7 minit ke restoran. Alhamdulillah..kali ini restoran buka sebab kami tiba tepat pada pukul 5.00 petang. 

Kami pelanggan pertama untuk petang itu. Jadi belum ada pelanggan lain

Burger kebab ayam dan yang merah tu ialah tomato yang dihancurkan. Ada rasa masam-masam sikit

Masa kami sampai, tiada pelanggan lain. Hanya pemilik restoran yang kelihatan. Pemilik restoran ini merupakan lelaki turki. Kami duduk dan melihat menu yang ada. Untuk makanan malam, tiada menu nasi disediakan kecuali untuk tengah hari. Maka kami pilih burger kebab dan kentang goreng.

Semasa melihat menu, kami agak terkejut sebab ada pilihan minuman beralkohol dan beer disediakan. Masa itu, kami mula ragu-ragu sama ada restoran ini menyediakan makanan halal atau tidak. Maksud kami dari segi penyediaan daging. Alkohol tu dah sah-sah tak halal. Menu kebab adalah dari sumber beef dan chicken. Tapi bagaimana dari segi sembelihan? Adakah pemiliknya benar-benar orang Islam?

Tapi kami tetap juga pesan makanan. Mungkin perasaan terlalu ragu-ragu itu akan menyusahkan kami akhirnya. Memandangkan perut kami benar-benar lapar kerana hanya menjamah makanan ringan seperti roti dan mee segera sahaja sejak dari dua hari lepas.

Kami tak nafikan ramai orang Turki yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Mulanya aku teringin nak tanya lelaki turki itu sama ada dia orang Islam atau sebaliknya. Tapi rasanya ia bukan satu soalan yang baik. Lagipun dalam pencarian google, memang restoran ini adalah salah satu restoran halal yang dicadangkan. Kami menikmati makanan dalam keadaan penuh tawakkal dan berserah.

Tanukikoji Shopping Arcade

Dalam perjalanan balik ke hotel, kami singgah ke Tanukikoji Shopping Arcade. Satu lagi tempat membeli belah berbumbung tetapi dalam udara terbuka. Jadi kau akan shopping dalam keadaan cuaca sejuk. Satu kelainan yang sukar dicari.

Shopping arcade ini menyediakan 7 bahagian laluan berbumbung yang dipisahkan oleh lintasan jalan raya. Agak panjang dan sangat puas bagi yang minat shopping. Harga barangan juga agak murah kerana kebanyakan kedai mengenakan harga bebas cukai. Ada barangan kecantikan, pakaian musim winter, pusat urut, karaoke, kedai pakaian bundle dan lain-lain. Pendek kata memang puas kalau dapat shopping sini. Kecuali cuaca yang sejuk agak mengehadkan terutama bagi yang tak tahan sejuk.

Nampak bersungguh-sungguh belek barang

Tiga utas 1,000 yen je. Dalam RM10 seutas

Kedai ni agak unik sebab ada barangan pelik-pelik dari seluruh dunia.

Serangga yang diawet. Seram tak?

Ini semua barang import yang bukan hasil tangan lokal.

Mainan untuk budak-budak

Ini lorong yang ke berapa pun tak tahu

Kedai barangan bundle. Macam-macam ada

Salah satu kedai yang menyediakan ruangan barangan halal.

Sijil halal. Sesuai untuk cari barangan memasak

Tertulis di situ "Telah hadir produk makanan Halal"

Kebanyakan baju bundle untuk musim sejuk

Mafela

Kalau nak boleh singgah Pole Town. Terus ke Susukino atau ke Otaru

So cheap!Boleh tahan la harga dia.

Kembar aku sangat berminat masuk kedai barangan bundle. Aku tak begitu berminat dengan barangan bundle dan agak alergik. Barangan bundle ini selalunya buat aku bersin. Tapi kedai bundle di Jepun ini agaknya memang bersih sehingga aku langsung tak bersin bila masuk ke dalam kedai. Pelik kan?

Selesai je menyelusuri Tanukikoji Shopping Arcade, kami ambil laluan bawah tanah Pole Town yang menghubung sehingga ke Susukino Station. Laluan bawah tanah ini lebih selesa dan tidak sesejuk seperti di laluan jalan raya darat. 

Balik bilik layan drama Jepun sekejap. Boleh faham la sikit-sikit walaupun tak ada sarikata. sebab pernah belajar basic bahasa Jepun, Kamus dan tulisan dia.

By