Akhirnya berjaya juga aku dan kembar jejakkan kaki ke bumi Sapporo semasa musim salji. Percutian kami bermula pada dari 27 Januari dan balik pada pagi 3 Februari 2019. Tujuh hari percutian terasa cepat dan berlalu sekelip mata sahaja sedangkan kami rancangnya setahun lebih awal iaitu sejak Februari 2018.

Dulu-dulu masa zaman sekolah memang teringin sangat nak main salji. Pernah juga pasang impian sambung pelajaran di negara empat musim. Tapi tak ada rezeki. Mungkin juga sebab aku tak cukup berusaha untuk capai cita-cita tu. Jadi jalan terbaik ialah dengan kumpul duit dan melancong.  

Tempah Tiket Setahun Sebelum


Aku mulanya rancang untuk kembara solo je. Masa akhir Januari 2018 aku dah mula kaji semua harga tiket ke Sapporo sepanjang musim salji di sana iaitu antara November sehingga April.  Target aku kalau boleh memang nak pergi dalam musim winter. Nak merasa bagaimana nikmatnya pegang salji sebenar.

Pilih punya pilih dan bandingkan harga akhirnya aku dapati harga paling murah ialah pada 27 Januari 2019 dengan harga RM324. Itu untuk harga tiket sahaja, Aku tempat tiket untuk diri aku seorang je pada 1 Februari 2018.

Kenapa aku tempah tiket sorang-sorang tanpa kembar? Sebab mula-mula aku ajak di cakap tak nak ikut. Lepas beli tiket terus aku bagitahu dia yang aku dah beli tiket ke Sapporo. Alih-alih dia nak ikut juga. Nasib baik masa dia beli tiket tu harga masih RM324 sama macam yang aku beli.

Tiket Balik & Hotel

Memandangkan lagi setahun nak bercuti, jadi kami sempat kumpul duit untuk beli tiket balik dari Sapporo - KL dan buat tempahan hotel beberapa bulan lebih awal. Untuk tiket balik Sapporo - KL, kami beli pada bulan Mei 2018. Kami tak berjaya dapatkan harga yang lebih murah. Memang dah agak sebenarnya memang susah nak dapatkan tiket balik yang murah. Sebabnya kami perlu fixed kepada rancangan percutian untuk tempoh seminggu. Tak boleh nak pilih-pilih sangat tarikh tiket paling murah. Jadi kami pilih untuk beli tiket pulang pada 3 Februari 2019.

Untuk tiket balik Sapporo - KL kami beli sama-sama dan dapat harga dalam matawang Jepun iaitu 53, 234 yen. Harga ini cover makanan, insurans dan bagasi. Harga tiket basic kalau tak silap aku masa tu dalam RM524. Kalau convert duit RM dalam kiraan 0.04 akan dapat harga lebih kurang RM2129.36. Tapi kalau ikut kiraan 0.03792 akan dapat harga RM2018.63. Masa itu aku lupa nak check baki akaun sebelum buat tempahan. Jadi aku tak pasti harga sebenar tiket.

Untuk hotel, kami buat tempahan pada Julai 2018. Tempoh keseluruhan bermalam ialah 6 malam di dua lokasi berlainan iaitu Otaru dan Susukino.  Aku tempah bilik hotel melalui Agoda.com. Bayaran dibuat sepenuhnya secara online. 

Sebenarnya ada je hotel dan hostel yang lebih murah di sekitar Sapporo City. Tapi masa nak search kat Agoda.com tu semua dah penuh. Jarak Susukino dan Sapporo City dalam 25 minit jalan kaki. Otaru pula terletak kira-kira 30 minit dari Sapporo City dengan menaiki bas.

Pengangkutan


Mulanya aku memang plan untuk dapatkan pas bas Intercity Sapporo pada harga 9,000 yen. Harga ini dia cover untuk 5 hari. Kalau convert duit RM dalam RM340. Pas bas ini boleh tempah secara online. Tak perlu bayar dulu. Cuma buat tempahan dan simpan nombor tempahan untuk kutip pas dan bayar masa sampai kat sana.

Tapi bila sampai Sapporo, kami decide tak nak ambil tiket bas. Sebabnya kami yakin tak akan guna bas sepenuhnya. Lagipun bukan semua lokasi boleh sampai dengan naik bas je. Ada yang kena ambil train. Jadi kami batalkan niat untuk ambil pas bas Intercity Sapporo dan decide untuk beli tiket seperti biasa. Kad Kitaca, Sapica dan Donichika tiket pun kami tak ambil. Sebab tak nak keluarkan duit deposit. Duit deposit tak mahal dalam 500 yen je kalau tak silap. Lagipun kad ni kita tetap kena topup juga kalau baki tak mencukupi. Jadi untuk senang kami rasa better beli tiket. Boleh juga tahu harga tiket untuk ke setiap lokasi.

Internet

Sebelum pergi Sapporo ada juga aku search untuk beli pocket wifi secara online. Harga tak mahal pun sebenarnya. Dalam RM130 untuk seminggu. Boleh share beberapa gajet. Tapi aku fikir kebanyakan hotel ada sediakan wifi yang selamat dengan kata laluan.

Lagi satu aku ni jenis kalau boleh tak nak rasa terganggu dengan terlalu kerap share gambar dan update status kat media sosial masa tengah jalan-jalan. Kalau mana-mana je pergi boleh connet internet, takut tak boleh nak control diri. Asyik nak up status je kat facebook. Aku cuma nak fokus jalan-jalan dan ambil gambar dan video je. Jadi untuk internet aku cuma berkesempatan guna masa dalam bilik hotel.

Tukaran Matawang

Aku buat tukaran matawang di dua tempat iaitu di Midvalley dan KLIA2. Harga tukaran kat KLIA2 lebih mahal. Jadi aku tak tukar banyak sangat kat KLIA2. Lagi satu duit poket aku dan kembar berasingan. Bajet kami tak sama.

Kos Keseluruhan Kembara Sapporo Seminggu

Jadi berapa kos keseluruhan kembara Sapporo untuk 7 hari 6 malam ini? Di bawah ini aku senaraikan kesemua kos secara kasar termasuk makan minum dan pengangkutan. Bajet dua orang merangkumi kos flight dan hotel.

Tiket Flight Airasia 

1. KL - Sapporo : RM528 (aku) + RM498 (kembar. dia tak ambil insurans)
2. Sapporo - KL : 53,234 Yen (Antara RM2018 - RM2129. Harga tiket, insurans, bagasi dan air mineral dan nasi lemak dua bungkus)

Hotel 

1. Smile Hotel Otaru untuk 2 malam = RM614.10
2. Frame Hotel Susukino untuk 4 malam = RM1,062.57


KESELURUHAN TIKET FLIGHT + HOTEL = RM4831.67 (lebih kurang)


Duit Poket, Transport & Makan Minum

Aku : Lebih kurang RM900
Kembar : Lebih kurang RM700

Untuk transport dan makan minum tak sama antara aku dan kembar. Sebab kami beli makanan lain-lain. Ada hari aku keluar jalan sendirian dan kembar tak ikut sama. Kecuali tiket JR Line, tiket subway dan bas yang kami naik dalam seminggu itu tidak lebih daripada 300 yen untuk satu hala destinasi perjalanan.
Klik gambar untuk tengok page hotel di Agoda.com

Sebelum tu, jom layan dulu video travel sepanjang seminggu di Sapporo dengan lagu tema Bila Cinta

Episod Penuh Kembara Sapporo Selama Seminggu

Baiklah, untuk episod penuh dari hari pertama sehingga hari ketujuh musafir kami di bumi Sapporo, boleh klik untuk baca mengikut episod. Maaf, penulisan agak panjang sebab aku selesa cerita mengikut perjalanan hari.

  1. Kembara Kembar Sapporo 7 Hari 6 Malam : Rancangan & Bajet

  2. Kembara Kembar Sapporo : Hari Pertama Di Bumi Sapporo

  3. Kembara Kembar Sapporo : Hari Kedua - Otaru Aquarium

  4. Kembara Kembar Sapporo : Hari Ketiga - Bertolak Ke Sapporo

  5. Kembara Kembar Sapporo : Hari Keempat - Maeda Forest Park

  6. Kembara Kembar Sapporo : Hari Kelima - Nakajima Park

  7. Kembara Kembar Sapporo : Hari Keenam - Hitsujigaoka Observation Hill

  8. Kembara Kembar Sapporo : Hari Ketujuh - Moerenuma Park & Bermalam Di Airport

     

     

     



By