Cerita 2 Mei 2014 - Hari Kedua Kembara Ke Indonesia




Pukul 5.30 pagi di Indonesia masih juga gelap. Kami mendapatkan Angkutan seawal yang mungkin untuk ke Terminal Bas Bulupitu. 


Bas pertama yang kami naiki dari terminal Bas Bulupitu bukanlah bas ekspres berhawa dingin yang menyelesakan perjalanan. Kami bertolak menaiki bas pada pukul 6 pagi dengan menaiki bas Wonosobo. Pada awalnya, perjalanan kami agak selesa kerana tidak ramai penumpang.


Bas pertama yang kami naiki ke Dieng Plateu


Kami mengambil tempat duduk belakang berhampiran pintu. Mulanya kami menyangka tempat duduk itulah yang paling selesa. Namun, semakin lama, semakin ramai penumpang yang naik terutama warga tua dan pelajar-pelajar sekolah. 


Aku hampir-hampir menangis kerana terpaksa berhimpitan dengan penumpang lain dalam bas yang pendek dan sempit itu. Tambahan lagi, aku terpaksa duduk berhimpitan di sebelah seorang pakcik tua (mungkin berbangsa cina) sepanjang perjalanan itu. Kulitnya yang bersentuhan dengan lenganku walaupun berlapik menyebabkan lenganku terasa sedikit miang.

Aku sendiri tidak tahu kenapa kulitnya yang bersentuhan dengan lengan bajuku terasa agak miang. Mungkin kerana kulit tuanya yang sudah agak menggerutu menyebabkan aku rasa tidak selesa. Namum , sepanjang perjalanan, aku cuba untuk mengawal perasaan supaya tidak menyakiti hati pak cik tersebut. Aku cuba bersabar supaya tidak menangis, walapun sebenarnya aku hampir-hampir menangis menahan miang di lenganku. Heheheh....


Bas pertama yang kami naiki sebelum sampai ke Dieng Plateu ini sangatlah mencabar. Sepanjang perjalanan, nyawa kami seolah-olah telur berada di hujung tanduk kerana pemandu bas ini memandu bas secara amat laju dan berbahaya. 

Namun, disaat kami merasakan debaran seperti akan mengalami kemalangan apabila pemandu bas cuba memotong kenderaan dihadapan, setiap kali juga perasaan itu meleset. Kecekapan pemandu bas ini berada pada tahap yang sangat tinggi.

Walaupun bas dibawa secara laju dalam keadaan yang berbahaya dan dipenuhi para penumpang, perjalanan kami masih selamat sehinggalah sampai di satu pekan dimana kami perlu menukar menaiki sebuah lagi bas yang akan membawa kami terus ke Dieng Plateu. Bermakna, untuk sampai ke Dieng Plateu, anda perlulah menaiki bas sebanyak 2 kali dari Terminal Bulupitu.

Pukul 10.30 pagi, kami tiba di destinasi perjalanan kami iaitu Dieng Plateu. 





Sebelum jalan-jalan, cari makanan dulu


Selepas Check In di Homestay Flamboyan, kami terus keluar untuk melawat kawasan





Kawasan pintu masuk sebelum ke Candi Arjuna



Candi Arjuna yang indah berlatar belakang bukit bukau




Teletubbies






Awan gelap menyelitupi. Tapi tiada hujan. Kedinginan di sini menyamankan lawatan kami









Ladang bercucuk tanam penduduk tempatan





Dieng Plateu adalah sebuah tempat pelancongan dataran tanah tinggi di Jawa Tengah yang termasuk di Wilayah Kabupaten Banjarnegara dan Kabupaten Wonosobo. Kesejukan tanah tinggi di Dieng Plateu adalah sekitar 12- 20°C.

Sepanjang perjalanan menaiki bas untuk ke Tanah Tinggi Dieng ini, mata anda akan dijamu dengan keindahan bukit bukau menghijau yang ditanami pokok teh dan puncak bukit yang disapa lembut oleh awan putih yang menyentuhi puncak bukit di sini. 


Semasa di sini, kami sempat singgah di base camp para pendaki Gunung Prau. Mulanya, kami diajak oleh pemandu pelancong tempatan untuk sama-sama mendaki ke puncak Prau untuk menikmati keindahan matahari terbit dari puncak Gunung Prau. 

Namun, niat kami ke Lembah Dieng bukanlah untuk mendaki sebaliknya hanya ingin menikmati kawasan sekitar dan melawat beberapa candi peninggalan sejarah yang terdapat di sini.

Selepas check in Homestay Flamboyan lebih kurang pada pukul 11 pagi , kami berehat seketika sahaja sebelum keluar menikmati kesejukan dan keindahan di kawasan ini dan melawat tempat-tempat bersejarah iaitu candi-candi seperti Candi Arjuna dan kawasan kawah bergas iaitu Kawah Sikidang. Kami terpaksa melakukan lawatan ini seawal yang boleh walaupun dalam keadaan penat kerana kami merancang untuk check-out hotel sebelum waktu tengah hari pada keesokan harinya. 

Untuk melawat Kawah Sikidang, anda bolehlah berjalan kaki sahaja kerana ia terletak tidak jauh dari Candi Arjuna. Lebih berbaloi jika berjalan kaki kerana anda boleh mengambil gambar-gambar yang sangat cantik dan menarik sepanjang perjalanan. 

Pemandangan dalam perjalanan kaki ke Kawah Sikidang



Kelihatan asap dari gas yang dikeluarkan

Kawah Sikidang. Terdapat bau gas yang kuat di sini. Anda perlu pakai surgical mask untuk keselesaan




Kesejukan di sini masih tetap dirasai walaupun pada waktu tengah hari. Kami mengambil masa lebih kurang 6 jam untuk melihat kawasan sekitar.

Pada waktu malam, kami keluar berjalan-jalan seketika untuk menikmati kesejukan malam dan mencari makanan untuk alas perut sebelum tidur. Namun, suasana di sini tidaklah semeriah seperti di bandar-bandar utama pada waktu malama kerana, rata-rata para peniaga akan menutup kedai pada waktu malam. Tidak banyak kedai makanan yang dibuka pada waktu malam.  

Ada satu perkara menarik di Homestay Flamboyan tempat penginapan kami ini. Pemanas air di bilik mandi yang disediakan tidak menggunakan pemanas air elektrik sebaliknya pemanas air  di sini menggunakan punca pemanas dari gas memasak! Jadi, semasa mandi, anda akan dapat menghidu bau gas dari pemanas air yang direka cipta seakan-akan pemanas air biasa dibilik mandi hotel!



 Cerita 3 Mei 2014 - Hari Ketiga Kembara Ke Indonesia



Cerita 1 Mei 2014 - Hari Pertama Kembara Ke Indonesia




Penerbangan kami sebenarnya pada waktu petang jam 4.20. Memandangkan ini pengalaman pertama kami menaiki kapal terbang ke luar negara (walaupun indonesia jer...), kami turun seawal 10.30 pagi untuk ke KL Sentral bagi mendapatkan bas ekspres ke KLIA. Semangat kami berkobar-kobar bercampur perasaan gementar. 

Masih ingat lagi pengalaman yang agak menyedihkan semasa kami naik bas dalam perjalanan ke KLIA, Kami telah dimarahi oleh seorang pekerja bas kerana disangka makan aiskrim dalam bas. Padahal kami bukan makan aiskrim sebaliknya yogurt. Rasa sangat malu bila ditegur dengan cara yang begitu kasar dihadapan para penumpang yang lain yang kebanyakannya adalah foreigners. Sedikit sebanyak kegembiraan memulakan pengembaraan terbantut selepas dimarahi. 

Apapun, bila fikir keseronokan yang bakal ditempuhi 10 hari berikutnya di Indonesia, perasaan sedih bertukar gembira sebaik tiba di KLIA. 

Penerbangan menaiki pesawat KLM sebenarnya jauh lebih selesa daripada pesawat Airasia. Jadi tak sia-sia kami menghabiskan tiket pergi balik untuk 2 orang sebanyak lebih kurang RM800. 

Kami tiba di Lapangan Terbang Soekarno Hatta pada jam 6 petang waktu tempatan. Di Indonesia, pukul 6 petang sudah gelap seperti malam. 


Ada station bas bersebelahan lapangan terbang soekarno hatta 

Kami menaiki bas damri dari lapangan terbang ke stesen keretapi Gambir. Tambang bas cuma 
Rp 30,000.

Sampai di station keretapi Gambir, kami singgah di surau berhampiran untuk solat jamak & qasar maghrib isyak. Selesai solat, kami terus ke kaunter tiket untuk menaiki keretapi ke destinasi seterusnya iaitu Purwokerto. Masih ingat lagi, kami cuma ada masa 2 minit sebelum keretapi berlepas selepas membeli tiket dikaunter! Apalagi..kami berlari tak cukup tanah untuk dapatkan keretapi tersebut pada jam 9 malam dalam masa 2 minit! 


Itulah pengalaman berlari mengejar keretapi yang menyeronokkan bagi kami. Dengan bagpack masing-masing yang besar gedabak atas belakang, kami berlari mengejar keretapi walaupun dalam keadaan yang sangat penat dan mengantuk. Sebaik kaki kami selamat berpijak di atas keretapi, ia terus bergerak tanpa menunggu lagi.

Harga untuk satu tiket ialah Rp340,00 dari station Gambir ke Purwokerto. Lebih kurang RM100. Bagi kami, harga tiket ini sangat mahal tetapi ini adalah koc eksekutif. Jadi, tempat duduk agak selesa dan layanan di koc ini juga sangat baik. Makanan di koc ini juga disediakan tetapi hendaklah dibeli kerana tidak termasuk dalam pakej keretapi. 

Disebabkan kelaparan yang teramat, kami menempah nasi goreng untuk alas perut. Entah kenapa, rasa nasi goreng itu begitu enak sekali. Walaupun cuma nasi goreng kosong, tapi rasanya sedap sekali!



Koc Eksekutif


Perjalanan ke Stesen keretapi Purwokerto mengambil masa 5 jam 30 minit. Dalam perjalanan, kami mengambil peluang untuk berehat secukupnya. Kami tiba di Stesen Purwokerto pada pukul 2.30 pagi! Keadaan masih gelap. 


Stesen Keretapi Purwokerto



Kami disambut oleh supir-supir yang menunggu untuk mendapatkan pelanggan. 

Mulanya, kami fikir untuk terima sahaja tawaran supir untuk hantar kami ke destinasi seterusnya iaitu Dieng Plateu. Tapi, bila memikirkan faktor keselamatan dan keadaan pagi yang masih gelap, kami buat keputusan untuk tunggu sahaja sehingga matahari terbit. Lagipun, jarak dari Stesen Purwokerto ke Lembah Dieng sebenarnya masih jauh dan kami tahu bahawa ada bas awam untuk ke sana. Jadi, faktor perbelanjaan juga diambil kira. 

Kami menunaikan solat subuh dan mandi untuk mengembalikan kesegaran sebelum meneruskan pengembaraan seterusnya. 

Jam 5.30 pagi, kami mendapatkan Angkutan untuk ke Terminal Bas Bulupitu








Mengimbau Kembali 1 Mei 2014...Selepas Setahun..





Bagi tahun 2015, cuti Hari Buruh & Hari Vesak yang berturutan selama 4 hari mungkin tidak begitu menggembirakan seperti tahun 2014. Tahun lepas cuti 4 hari ditambah dengan cuti tahunan memberikan peluang untuk aku dan kembarku melakukan  kembara selama 10 hari di beberapa tempat di Indonesia. 

Itulah pertama kali pengalaman kami mengembara luar dari peta Malaysia. Jadi, pengalaman ini menjadi sangat bermakna. Walaupun ia bukanlah sesuatu yang sukar dilakukan bagi orang lain. Namun bagi aku, keberanian kami yang selama ini tidak pernah keluar dari garis peta Malaysia secara bersendirian, menjadikan pengalaman ini bergitu bermakna. Selama ini, keberanian itu tak wujud kerana dimomokkan dengan cerita-cerita buruk yang banyak mempengaruhi keputusan kami untuk cuba keluar dari Malaysia. 

Masih aku ingat lagi, 2 minggu sebelum menjelangnya 1 Mei 2014, kami melakukan keputusan drastik untuk mengembara ke Indonesia. Tanpa berfikir panjang lagi, kami setuju untuk menempah tiket kapal terbang KLM ke Jakarta. Pergi pada 1 Mei dan pulang pada 10 Mei 2014. Kami melakukan persediaan dan rujukan selengkapknya dalam masa 2 minggu tersebut.

Di bawah ini ada beberapa gambar yang aku kongsi bersama. Memandangkan mata ini sudah terlalu mengantuk, aku cuma letakkan beberapa keping gambar dahu. Kalau aku rajin, aku akan ceritakan pengalaman pertama mengembara ini secara lebih terperinci mengikut tempat yang telah aku lawati pada entri yang akan datang.

Sebaik tiba di Jakarta Airport jam 6. Rasa jakun je
Tiba di Stesen keretapi Purwokerto jam 2.30 pagi setelah 5 jam perjalanan dari Jakarta


Kompleks Candi Arjuna Dieng Plateu
Stesen Keretapi Malang
Dinas Kesehatan Kabupaten Malang. Nak tahu kenapa aku berada di sini? Tunggu entri seterusnya.

Sampai di destinasi impian